Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Mengukuhkan kerjasama transformasi digital, pembangunan sumber manusia
27/05/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, yang telah diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dengan menyatakan pandangan bahawa persidangan Sidang Kemuncak ini adalah tepat pada masanya kerana kedua-dua wilayah mengharungi landskap global yang tidak menentu yang dicirikan oleh persaingan kuasa utama dan peningkatan perlindungan perdagangan.

Oleh yang demikian titah baginda, ASEAN dan GCC digalakkan untuk membina hasil positif Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-GCC di Riyadh, Arab Saudi, untuk meningkatkan peluang ekonomi dan mengukuhkan daya tahan terhadap cabaran bersama.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menggalakkan pegawai-pegawai untuk mengawasi pelaksanaan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC dan mengalu-alukan kerjasama dalam perubahan iklim dan ekonomi digital, mengakui bahawa kepimpinan GCC dalam tenaga boleh diperbaharui menawarkan peluang-peluang berharga bagi ASEAN untuk mencipta sistem tenaga mampan.

Baginda juga bertitah mengalu-alukan sokongan GCC untuk Pusat Perubahan Iklim ASEAN, dan menyatakan pandangan bahawa terdapat merit untuk ASEAN dan GCC untuk mengukuhkan kerjasama dalam transformasi digital dan pembangunan sumber manusia.

Kebawah DYMM dalam titah juga menekankan keperluan untuk keamanan dan kestabilan dalam isu-isu geopolitik kritikal ke arah memperjuangkan masa depan yang mampan.

Sehubungan itu, baginda memuji usaha berterusan negara-negara GCC untuk memudahkan dialog antara Rusia dan Ukraine dan sokongan mereka terhadap Palestin.

Baginda seterusnya bertitah menekankan kepentingan untuk terus menegakkan perintah antarabangsa berasaskan peraturan, mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penemuan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang kesemuanya menyumbang kepada dunia yang lebih aman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto